Saturday 20 April 2013

Langkah kerajaan turun harga kereta lebih baik berbanding manifesto pembangkang


ALOR SETAR 2 Mac - Langkah kerajaan menurunkan harga kereta melalui perbincangan dengan syarikat-syarikat pengeluar kereta terbukti memberi hasil positif yang jauh lebih baik berbanding manifesto pakatan pembangkang.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, ini kerana harga kereta sudah diturunkan antara RM2,000 hingga RM17,000 sebuah tetapi hasil kutipan cukai kerajaan pada masa sama tidak menurun.
"Kalau ikut manifesto pakatan pembangkang, mereka mahu turun harga kereta dengan menghapuskan cukai maka hasil kerajaan tidak ada, kenderaan terlalu banyak dan jalan menjadi sesak dan pelbagai masalah timbul.
"Tetapi apa yang berlaku sekarang dengan langkah kerajaan terbukti bahawa harga kereta boleh turun tanpa kita mengurangkan cukai," katanya selepas merasmikan Himpunan Komuniti Usahawan TEKUN Kedah dan Perlis di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi TEKUN, Datuk Suraya Yaacob dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) TEKUN, Adam Abdul Ghani.
Mukhriz mengulas Pelan Penurunan Harga Kereta dalam negara secara berperingkat sejak suku keempat tahun lalu sehingga 2016 termasuk menghapuskan duti import kereta dari Jepun dan Australia.
Beliau berkata, kerajaan mengambil kira pelbagai faktor dalam usaha menurunkan harga kenderaan, termasuk kesan ekonomi ke atas negara, syarikat pengeluar, lebih 200,000 pekerja kilang kereta, pengusaha industri kenderaan terpakai serta kepentingan pengguna. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment